Allaahuakbar. Banyak betul perkara yang berlaku sejak akhir-akhir ni. Setiap kisah tu memang dah tertulis dalam kepala dan dah rancang untuk diblogkan, tapi dek kerana kekangan masa dan keutamaan, terpaksa ditangguhkan dulu. Dan sekarang, dah agak ada masa sikit, baik tulis blog dulu sebelum banyak peristiwa lain lagi yang akan mengurangkan ingatan kepada kisah-kisah lepas, maklumlah dah tua...
Berbalik kepada tajuk post ni, meh saya kongsi pengalaman semasa PhD Viva yang saya hadiri pada 11 Ogos 2016. Setelah hampir 3 bulan menunggu, akhirnya saya telah menerima emel dan surat penetapan tarikh PhD Viva dari Sekolah Pengajian Siswazah; 11 Ogos 2016 | 10 pg | Bilik Mesyuarat SPS 1, Aras 2, Sekolah Pengajian Siswazah, UTM JB.
Setelah memaklumkan kepada kedua-dua penyelia, penyelia kedua saya dengan sukacita telah membenarkan saya menetap di homestay miliknya sepanjang saya di JB. Alhamdulillah, rezeki saya waktu tu homestay tersebut tiada klien. Saya pun dengan sukacita juga menerima pelawaan beliau. Cuma, ada beberapa kerisauan di hati saya untuk ke JB kali ni. Saya tak boleh lagi ke JB bersendirian. Satu, sebab saya mengandung dah 6 bulan takut terjadi apa-apa di perjalanan dan sepanjang di JB. Dua, sebab keadaan kereta saya yang 'tak sedap' sebab dah banyak usianya, risau kalau berlaku apa-apa kerosakan atau terkandas. Tiga, sebab homestay yang bakal diinap tu agak besar juga (teres 2 tingkat dengan 4 bilik), jadi agak takut juga untuk saya tinggal sorang-sorang.
Suami, macam biasalah, tak dapat nak cuti lama-lama. Sesi PhD Viva saya hari Khamis, jadi Rabu saya dah kena ada di JB. Jadi, kalau suami nak ikut saya, paling sekejap pun dia kena mohon 3 hari cuti. Kesimpulannya, memang suami tak dapat temankan saya. Jadi, saya cuba tanya ahli keluarga yang kelapangan, kalau-kalau ada yang sudi temankan saya. Alhamdulillah, kebetulan seorang adik saya masih dalam cuti semester, dan beberapa ahli keluarga lagi akan datang KL untuk kenduri sepupu saya. Bincang punya bincang, akhirnya dipersetujui saya ke JB dengan 2 orang adik saya, dan anak saya yang kecil. Anak yang besar tinggallah dengan suami, lagipun dia dah tadika.
Baru muqoddimah...huhu
Alkisahnya, setelah adik-adik saya sampai dari kampung awal pagi Selasa, saya biarkan diorang rehat dulu sementara saya ada appointment klinik untuk check-up kandungan. Menjelang tengahari baru selesai, dan siap berkemas, kami bertolak ke JB jam 3ptg. Separuh perjalanan saya yang pandu, dan separuh perjalanan lagi adik saya yang pandu. Alhamdulillah perjalanan lancar dan kami sampai di homestay lebih kurang jam 9 mlm. Rehatkan badan dan minda dulu. masih berbaki 1 hari sehingga sesi PhD Viva saya pada hari Khamis.
Rabu. Saya dah aturkan perjumpaan dengan kedua-dua penyelia untuk semak slide dan persediaan saya untuk PhD Viva nanti. Sebelah pagi, saya berjumpa dengan penyelia kedua (alhamdulillah, beliau dah kembali dari Korea dan sempat menghadiri sesi PhD Viva saya nanti. Kisah terdahulu di sini...). Sempat saya mock-viva di hadapan penyelia saya ni dan beliau bantu saya memperbaiki slide dan berbincang tentang soalan-soalan yang bakal ditanya nanti. Seterusnya, saya sepatutnya berjumpa dengan penyelia utama pada sebelah petang, tapi memandangkan banyak yang dah dibincangkan bersama penyelia kedua, penyelia utama putuskan untuk membatalkan perjumpaan kami, dan wish me goodluck. Jumpa esok sahaja semasa sesi PhD Viva. Jadi, ada berbaki masa lagi petang dan malam ni untuk memperbaiki slide dan praktis. Seebelum balik ke homestay, sempat saya ke SPS untuk melihat keadaan bilik / tempat untuk saya viva esok.
Tu dia.......scary tak? |
Khamis. 11 Ogos 2016. Saya bawa adik lelaki saya sorang je untuk teman ke SPS. Adik perempuan saya tinggalkan di homestay sambil jaga anak saya. Jam 9 pagi, saya dah terpacak di SPS, lebih baik cepat daripada lambat. lagipun, saya perlu setup labtop, projector dan sebagainya. Sesampai di sana, terus ada seorang staf SPS yang menyapa nama saya dan menunjukkan bilik viva. Saya terus setup apa yang sepatutnya, dibantu oleh adik lelaki saya dan juga technician SPS.
Rupa-rupanya ada video conference, salah seorang pemeriksa saya tak dapat hadir dari KL, iaitu pemeriksa luar dari UKM. Manakala untuk pemeriksa dalam pula, saya menerima kejutan pagi ni sebab setahu saya orang lain yang jadi pemeriksa saya, tapi nama yang tertulis di papan kenyataan ni orang lain. Lebih mengharu-birukan adalah orang ni yang saya memang nak elakkan sebab beliau amat mahir dalam bidang kajian saya. Tapi, apakan daya, memang itu dah tertulis. Saya redha sahaja dan berdoa agar yang baik-baik sahaja yang bakal berlaku.
Menjelang jam 10 pagi, penyelia-penyelia, pemeriksa, dan pengerusi muncul sorang demi sorang. Huh, berdebar! Adik saya dah tak boleh masuk dan tunggu di luar bilik viva. Saya tak pasti berapa lama sesi ni akan berjalan, harap-harap ada lah aktiviti dia kat luar tu. Mengambil foto dan merakam video tidak dibenarkan sepanjang sesi viva ya.
Jam 10 pagi, technician SPS masih setup untuk video conference, untuk pastikan pemeriksa luar dapat 'feeling' viva. Beliau pun dah sampai. Memulakan sesi viva ini, Pengerusi kehormat membuka sesi dengan sedikit ucapan pembukaan. Setelah mengalu-alukan kehadiran semua panel, Pengerusi menjemput dan mempersilakan saya untuk membentangkan slide kajian saya.
Bismillah..tawakkal 'ala Allaah. Saya cuma peruntukkan 20-30 minit untuk pembentangan. Kalau berdasarkan apa yang saya praktis, had masa tu boleh dicapai. Alhamdulillah, saya dah buat yang termampu, adakala saya terhilang perkataan juga. Selesai pembentangan, Pengerusi mempersilakan saya untuk duduk sepanjang sesi viva kerana keadaan saya yang berbadan dua ni. Terima kasih Pengerusi.
Haa..sekarang la pertarungan yang sebenar! Saya jangkakan soalan diajukan oleh pemeriksa berdasarkan pembentangan saya. Rupa-rupanya mereka bersetuju untuk 'go-by-chapter'., maksudnya berdasarkan tesis. Jadi, bermula dengan Bab 1 sehingga ke Bab 6, kedua-dua pemeriksa mengajukan soalan yang memerlukan kepastian dan ulasan lanjut daripada saya, berdasarkan tesis saya yang mereka dah baca sebelumnya. Saya cuba jawab dan memberi penjelasan sekadar yang termampu. Adakala, saya terdiam sahaja dan adakala juga pemeriksa dalam tolong jawabkan untuk saya. Dan, kalau keadaan nampak macam tak terkawal atau ter'stress', Pengerusi memainkan peranan beliau untuk mengembalikan keceriaan sesi viva. Selesai Bab 6, patah balik ke Abstrak dan akhir sekali, Tajuk. Sepanjang sesi viva ni, bahasa perantaraan dah bercampur-campur sebab ia seolah-olah kita sedang bermesyuarat sahaja. Tiada niat di hati pemeriksa-pemeriksa untuk menjatuhkan air muka atau mencari kesalahan, mereka cuma inginkan lebih penjelasan terhadap kemusykilan yang mereka dapati apabila membaca tesis. Dan, peranan mereka adalah untuk memperbaiki kelemahan yang ada demi menghasilkan tesis yang berkualiti, dan melahirkan graduan yang berkualiti juga. Alhamdulillah, selesai sudah sesi viva setelah 2 jam. Bunyinya macam lama, tapi sewaktu dalam sesi viva tu, tak terasa pun 2 jam tu.
Saya diminta untuk keluar bilik viva sekejap untuk para panel berbincang. Masa keluar tu, tak tahu perasaan macam mana. Lega ada, risau ada. Kalau ikutkan soalan-soalan yang tak berjaya saya jawab, macam akan dapat major correction. Apapun, tak kisahlah sebab kata orang, yang penting dah habis viva. Correction tu memang pasti. Jadi, saya chit-chat dengan adik untuk melegakan sedikit keresahan, dan mesej suami dan rakan-rakan terdekat.
Tak sampai 15 minit kemudian, saya dah dipanggil masuk semula ke bilik viva. Huuu..berdebar lagi! Sambil berjalan masuk tu, sempat lagi jari saya tekan butang 'Record' pada telefon bimbit. Saat ni, sekali seumur hidup je berlaku kan. Seusai saya duduk je, Pengerusi mula bersuara:
"Okay, selamat kembali ke viva room, Tengku Nur Azila binti Raja Mamat. Panel of examiners, termasuk supervisors telah membuat keputusan. Jadi, keputusannya akan saya bacakan...iaitu..semua panel telah bersetuju untuk menganugerahi anda PhD, tapi subject to correction. Gred B1 lah. Gred B1 bermakna you have up to 1 month for your correction, kalau you nak submit earlier pun boleh. Your corrected thesis is going to be verified by your supervisor. Dan, tajuk tesis adalah kekal. So, all the best"
Seusai ucapan penutup Pengerusi tu, ucapan tahniah kedengaran daripada semua yang ada di dalam bilik viva tu. Saya pula, tak putus-putus ucapkan terima kasih. Pun, tak tahu nak perasaan macam mana. Lega sebab dah habis, tak percaya pun ada. Risau sebab correction 1 bulan sahaja. Tapi, bila difikirkan balik, memang saya doa untuk dapat B1 pun. Dah makbul ni, alhamdulillah lah. Ada lah tu hikmahnya. Terima kasih Allah.
Sebelum keluar dari bilik viva, kami semua bergambar kenang-kenangan. Saya memang plan nak ambil foto, nasib baik dah dimulakan dulu oleh Pengerusi. Sporting sangat Pengerusi ni. Nasihat saya untuk bakal-bakal Dr., jangan lupa titipkan juga doa agar dapat pengerusi viva yang baik, sebab kesannya sangat besar pada emosi kita dan keseluruhan emosi sepanjang viva tu bergantung kepada macam mana pendekatan dan cara pengerusi mengendalikannya.
Maka, setelah 2 jam setengah berjuang, berakhirlah sesi PhD Viva saya. Ada sedikit jamuan di luar bilik viva untuk semua panel. Adik saya pun dijemput makan sekali. Waktu tu, saya mati kutu, diam tak terkata apa sebab segan dengan Prof-Prof, Dr-Dr sekalian. Dengar sahaja mereka berbual aku-kau. Habis makan, saya dan adik minta diri. Sempat juga saya menyatakan kerisauan saya tentang 1 bulan correction tu kepada penyelia utama, tetapi beliau meyakinkan yang saya sempat siapkan. Dan, kalau ada rezeki saya, saya sempat konvo bulan Oktober nanti. Oh..bagi saya, saya bukan nak kejar konvo bulan Oktober. Kalau sempat, sempat. Kalau tak sempat, saya tak kisah pun untuk konvo bulan April 2017.
Alahai mak buyong |
My dear adik...thank you so much! |
Kesimpulannya, beberapa tips untuk panduan bakal-bakal Dr. yang akan menghadapi viva:-
1) Sila berpakaian kemas dan selesa. Ingat, tak semestinya pakai pakaian baru tapi pakaian yang kita dah selesa dengannya. Nota: saya pakai jubah pemberian Ma saya, ambil aura dan berkat Ma.
2) Sila periksa bilik viva sebelum sesi sebenar, untuk mendapat 'feeling' dan menyediakan minda kita untuk menghadapi viva.
3) Selesai sesi viva (beberapa jam selepas viva, dapatkan di sekolah pengajian siswazah), kita akan diberi laporan rasmi viva yang disediakan oleh pengerusi viva, berserta dengan beberapa salinan tesis yang dikembalikan oleh pengerusi dan pemeriksa. Segala komen, kemusykilan, nota, catatan pemeriksa akan kita dapati dalam tesis yang dikembalikan tersebut untuk rujukan, tetapi untuk tujuan correction, sila rujuk kepada laporan rasmi viva sahaja.
4) Hubungan dengan penyelia sangat penting, sebab penyelia juga memainkan peranan dalam menetukan keputusan akhir viva kita. Sebab penyelia yang bekerja bersama kita sepanjang 3,4,5 tahun dan mereka tahu cara kerja kita, disiplin kita, dan kebolehan serta kelemahan kita. Pada pandangan saya, PhD bukan semata-mata tesis tetapi bagaimana pembawaan, pembangunan dan peningkatan diri dapat dan telah dicapai.; bagaimana penyelia melihat kita sebagai seorang bakal 'expert' yang akan mencorak masa hadapan dalam bidang kajian kita.
Terima kasih kepada yang sudi membaca sampai habis. Kisah seterusnya yang lagi mencabar akan menyusul.
Terima kasih menulis pengalaman ini
ReplyDeleteTahniah...
ReplyDeleteTerima kasih berkongsi pengalaman berharga ni...
DeleteTerima kasih. Semoga anda juga beroleh kejayaan yang serupa malah berganda lagi
DeleteTerima kasih Dr. Coretan ini amat berharga. Tahniah diucapkan, doakan akak juga ya...
ReplyDeleteTerima kasih berkongsi. Saya juga mak buyong 7 bulan akan viva minggu depan insya Allah.
ReplyDelete