Friday 12 February 2016

Singapura aku datang! Bahagian 2

Singapura aku datang! Bahagian 1

Semalaman tidur saya tak lena sebab memikirkan perjalanan saya hari ni. Saya ada masa sepanjang hari memandangkan penerbangan saya lewat petang, tapi saya kena check-out hotel jam 12 tengahari. jadi, macam mana saya nak berjalan-jalan dengan beg pakaian, labtop dan macam-macam lagi? Beberapa alternatif saya plan, antaranya pagi-pagi tu terus checkout dan ke Changi Airport, simpan luggage di airport dan pusing-pusing Singapura dengan perkhidmatan LRT. Airport ada menyediakan perkhidmatan menyimpan luggage, dengan harga dari SGD1-SGD10. Dari airport juga, senang untuk ke mana-mana destinasi pilihan menaiki LRT.

Tapi, berdasarkan apa yang saya semak di internet, di sekitar kawasan Novotel Singapore ni pun banyak tempat menarik yang boleh dituju hanya dengan berjalan kaki. Masalahnya, cuma "mana nak letak beg?". lepas saya layari internet lagi, ada dapat maklumat yang sesetengah hotel pun sebenarnya ada menyediakan perkhidmatan menyimpan luggage secara percuma kepada pelanggan mereka. Saya terus membuat panggilan kepada khidmat pelanggan hotel, dan alhamdulillah, hotel ni ada sediakan khidmat tu. Lega....

Awal pagi saya sudah terjaga. hurm, apa kata kalau hari ni saya cuba sarapan hotel. hari ni dah hari terakhir, lagipun saya dah confirmkan dengan pihak hotel yang deposit saya tu refundable. Setelah meneliti menu sarapan, saya memilih menu yang paling murah dan tidak ragu-ragu Local Breakfast dengan harga SGD10, room service. Tak sampai 15 minit, dah sampai pun sarapan saya. Dapatlah saya menikmati sarapan dulu sebelum saya mulakan perjalanan saya hari ni. Memandangkan perancangan saya hari ni adalah berjalan kaki, saya perlukan lebih tenaga. Saya rasa agak berisiko kalau ke mana-mana dengan pengangkutan awam, sebab ia bukan dalam kawalan kita. kut-kut dah pergi jauh-jauh, tak tahu jalan nak balik ke, sesat ke, tak cukup duit ke..kan naye tu.




Hanya separuh sarapan saya berjaya habiskan. Jam 7.15 pagi, saya mulakan perjalanan ke destinasi pertama: Merlion Park. Kalau ikutkan brosur dan maklumat dari internet, ke Merlion Park dari Novotel mengambil masa 20-30 minit. Memandangkan saya menggunakan laluan yang sama saya lalu semalam, saya cuba kurangkan menangkap gambar di tempat yang sama sebab masih banyak lagi tempat nak dituju. Guna kamera handphone je, bateri taklah tahan lama sangat. Jadi, perjalanan saya hari ni kira-kira 2 kali ganda dari semalam untuk ke Merlion Park. Pada mulanya sesat juga, tapi ada tanya orang-orang tempatan dan akhirnya sampailah saya ke mercu tanda kota singa ni. Kata orang, kalau tak pergi tak sah, dan tak terbukti lah kita dah sampai ke Singapura. Kalau nak tahu, Merlion Park ni lah tempat terletaknya patung singa yang mengeluarkan air tu. Sayangnya semasa saya di sana, ada sedikit penambahbaikan, jadi tiada air dari mulut singa..huhu. Walaubagaimanapun, saya sedaya upaya juga cuba untuk mendapatkan shot terbaik dengan sang singa. monopod sorang-sorang. haih, jenuh juga, baru lah dapat apa yang saya nak, sebab handphone saya tiada front camera.








Dari Merlion Park, sekeliling tu memang macam-macam tarikan ada. Di seberang jambatan sana, ada Esplanade Theatre yang rekabentuknya amat kreatif. Berjalan lagi, akan jumpa Marina Bay Grandstand. Kemudian, menyelusuri Singapore River dan merentasi satu lagi jambatan, boleh sampai ke Marina Bay Sands dan Art Science Museum. Manakala di sebelah kanan jambatan, saya dapat lihat Singapore Flyer. Semestinya, saya tak masuk semua tempat tu, cuma sekadar meninjau dan menangkap gambar kenang-kenangan. Selepas menghampiri Marina Bay Sands, saya berpatah balik untuk pulang ke hotel. Waktu pun dah pukul 10 lebih dan panas cuacanya. Kaki pun dah rasa lenguh juga. Pastinya, perjalanan baik tu agak perlahan sedikit, sambil tengok ragam pelancong-pelancong asing..meriah!

Esplanade Theater







Marina Bay Grandstand


Marina Bay Sands dan Art Science Museum

Marina Bay Sands
Art Science Museum
 

 

 

 

Semakin saya berjalan, semakin hampir saya dengan Marina Bay Sands, yang saya lihat dari kejauhan melalui tingkap bilik hotel. Memandangkan sangat susah untuk saya bergambar berlatarbelakangkan Marina Bay Sands dan Art Science Museum ni, saya minta tolong dari pelancong dari China sekeluarga. Walaupun mereka tak faham bahasa inggeris, tapi bolehlah faham setakat nak minta tolong snap picture tu kan.



Sesampainya di hotel, saya kemaskan barang-barang, habiskan sarapan yang masih berbaki, cas bateri handphone. Dan, saya dah sedia untuk check-out hotel untuk ke destinasi seterusnya. Luggage saya tinggal di hotel, saya cuma bawa barang-barang berharga saja. Alhamdulillah sekali lagi sebab hotel ada sediakan khidmat simpan beg, kalau tak, mati kutu juga saya dibuatnya.

Jam menunjukkan jam 12 tengahari lebih. Destinasi seterusnya, saya nak mencari masjid. Sememangnya di Singapura ni, susah nak jumpa muslim, jadi masjid pun agak jarang-jarang ditemui. Berbekalkan peta dan maklumat yang saya dapat dari internet, ada sebuah masjid terletak lebih kurang 15 minit je berjalan kaki dari hotel. Nama masjid tu, Masjid Omar Kampong Melaka. Maka, saya berjalan lah perlahan-lahan mengikut peta yang ada. Menyeberang cuma 1 jalan besar, menyusuri celah-celah bangunan tinggi, dan akhirnya saya sampai di masjid yang saya cari-cari. Masih belum masuk waktu Zuhr. jadi, saya rehat-rehat sekejap dan sambil tu, cas lagi handphone sementara ada peluang ni. Usai azan Zohor berkumandang, saya solat jama' taqdiim.









Destinasi seterusnya, saya mencari tempat untuk membeli buah tangan kepada keluarga dan rakan-rakan. Yang paling dekat dari sini ialah dalam 20 minit berjalan kaki. Jadi, dari masjid tu saya meredah panas terik mentari menuju ke Chinatown. Sekitar jam 2 petang, laluan ni agak mencabar sedikit sebab melalui kawasan bandar yang sibuk, menyeberang beberapa jalan besar, dan agak ramai juga orang. Takut pun ada. Tapi, redah aje lah..dan tawakkal 'alallaah.


Saya bukan jenis yang suka sangat nak bershopping, tambahan dengan bajet yang tak banyak. Cuma sekadar membeli cenderahati kenang-kenangan. Barang-barang yang ada di sini, standard la untuk pelancong-pelancong. Keychain, fridge magnet, baju, beg, dan lain-lain cenderahati. Harga pula, lebih kurang dengan Malaysia, tapi nilai SGD la. Contoh macam keychain ada yang boleh dapat dengan harga SGD10 untuk 6 pcs, t-shirt SGD10 untuk 4 helai, beg SGD3, dan sebagainya. Masa saya tak banyak, jadi saya buat quick shopping je. Tak semua lorong/kedai saya pergi sebab kebanyakannya jual barang yang sama je. Saya pula bukan pandai nak tawar-menawar ni. Bajet dalam SGD50 tu, dah boleh dapat banyak juga cenderahati.











Habis shopping, saya berjalan balik ke hotel. Agak jauh juga, tambah lagi badan dah penat, kaki dah sakit. Jalan perlahan-lahan je. Setelah sampai di hotel, rehat sekejap sebelum ambil luggage dan menaiki teksi ke Changi Airport. SGD20 lagi untuk tambang teksi.

Sampai airport pun, masih tak boleh rileks. Tahu sajalah di airport, dari pintu masuk nak ke terminal bukan main jauh. Sabar jelah...dah tak larat sangat dah rasanya. Lapar pun ye jugak, sebab harini cuma makan sarapan kt hotel tu je. Ada sedikit bekalan biskut dalam beg, saya makan dulu buat alas perut.

Dalam flight, saya dh pre-order makanan. Tapi, sebab perjalanan sekejap sangat, jadi, makan pun cepat-cepat sebab tak lama selepas makanan dihidangkan, dah kena ready untuk mendarat. Alhamdulillah, selamat mendarat di KLIA2 dalam pukul 8 malam.

Sesampai di KLIA2, terus saya hubungi suami yang datang menjemput saya. Dia dah sampai, tapi tersilap masuk ke tempat menghantar penumpang. Saya pula dah menghala keluar ke tempat menjemput penumpang. Alamak, jenuh juga saya nak cari lif/tangga nak ke tingkat atas, dengan luggage yang berat dan badan penat. Berpusing-pusing juga saya, baru jumpa.

Alhamdulillah dah selesai trip saya ke Singapura. Tapi, ending dia macam kurang best....sebab, kat negara orang dan berseorangan, boleh survive tanpa sesat. Kat negara sendiri, di KLIA2 boleh tersesat pula. Huhu. Kesimpulannya, apa-apa pun perlukan perancangan yang rapi dan persediaan. Saya dah betul-betul rancang untuk trip Singapura saya, siap dengan plan B plan C. Tapi, perancangan saya cuma setakat mendarat di KLIA2 saja, terlepas pandang pula yang kejadian yang tak diingini boleh berlaku di mana-mana sahaja, waima di rumah sendiri pun. Hurm..

Itu sahaja coretan saya, semoga bermanfaat kepada sesiapa yang mencari maklumat sedikit sebanyak tentang Singapura.  Semasa saya mencari maklumat tentang Singapura dulu, tak banyak saya jumpa blog dari Malaysia yang bercerita tentang Singapura, kebanyakannya blog dari Indonesia, tak tahu pula saya apa sebabnya.

Ops, tambahan maklumat tentang harga flight pergi-balik Malaysia-Singapura dalam anggaran MYR500-600.

Sekian, thank you for reading.















































































































































































Thursday 11 February 2016

Singapura aku datang! Bahagian 1

Assalamualaikum pembuka bicara...dan selamat sejahtera semua..ini cerita bulan November yang lepas ('',)

Untuk kali kedua dalam tahun 2015, saya akan ke oversea! Hehe, tak ke mana pun, cuma negara jiran, Kota Singa je.

Saya mendapat 'arahan' untuk ke Singapura bagi mewakili bos saya yang diundang untuk menyampaikan keynote speech pada satu persidangan. Apabila peluang ni datang, saya rasa cuak juga sebab macam mana pula nak bagi keynote speech ni, tak pernah buat! Oh, kalau saya pergi, saya mewakilkan bos saya atas tiket timbalan presiden sebuah badan swasta dan amat mahir serta berpengalaman dalam topik yang akan dibincangkan di persidangan tersebut. Tapi, setelah difikir-fikirkan lagi, saya menganggap ini sebagai peluang untuk saya bertemu dengan pemain-pemain industri dari pelbagai negara kerana persidangan ni adalah di peringkat Asia Pasifik. Sementelah pula, topik yang diketengahkan dalam persidangan ini ada kaitan dengan bidang kajian phd saya.

Jadi, saya mengambil peluang ini dan menyahut cabaran. Notis singkat yang saya terima daripada bos saya, hanya memberi saya masa selama 3 hari untuk membuat persediaan. Segalanya. Tiket penerbangan dan perjalanan saya selama 4 hari 3 malam di sana, bajet perbelanjaan, menukar wang, dan juga persediaan material untuk saya bagi ucapan atau pembentangan nanti. Syukur, passport saya masih lagi sah dan belum tamat tempoh. Syukur, penginapan telah diuruskan oleh pihak urusetia. Dalam pada itu, saya kerap berhubung dengan urusetia persidangan untuk mendapatkan maklumat yang saya kehendaki.

Satu cabaran lain yang bakal saya tempuh ialah saya akan berseorangan ke sana. Walaupun pada waktu tu, anak-anak saya berada di kampung, tapi suami saya susah dapat cuti, apatah lagi kalau cuma notis 3 hari sebelum berlepas. Berbekalkan pengalaman ke Bali awal Februari lalu yang juga saya berseorangan, saya kuatkan hati dan semangat..segalanya hanya bergantung pada Allah. Semoga Allah permudahkan perjalanan pergi dan balik saya, dan semoga Allah sentiasa menemani saya dan menjauhkan saya daripada segala kejahatan dan keburukan. Aamiin.

Perjalanan saya bermula dengan menaiki teksi jiran ke airport, memandangkan flight sy tengahari, jadi tak dapatlah suami menghantar saya kerana kerja. kebetulan ada jiran selang 2 buah rumah yang memandu teksi, jadi saya terus booking dengan dia. Sesampai di airport, masa yang ada cukup panjang dan alhamdulillah, setelah 45 minit dalam kapal terbang, saya selamat mendarat di Cangi Airport, Singapura.



Cabaran pertama, memilih cara untuk ke hotel dari Changi Airport. saya ada semak melalui website tentang perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan dari airport ni. ada teksi, LRT dan sebagainya, tapi stesen LRT terdekat dengan hotel agak jauh juga. kalau nak berjalan dengan bagasi, rasanya tak larat. jadi, saya ambil keputusan untuk naik teksi. senang, terus sampai depan pintu hotel. lagipun, saya tengok ramai je yang naik teksi. perjalanan teksi dari airport ke hotel mengambil masa lebih kurang 15 minit, bayarannya SGD20 (kadar tukaran wang waktu tu.. SGD1=RM3.1)

Saya menarik nafas lega apabila menjejak kaki di lobi Novotel Clarke Quay, Singapura. Alhamdulillah. Jam menunjukkan pukul 4ptg, saya terus ke kaunter untuk check-in. nama saya sudah di-reserve oleh pihak urusetia, tapi saya diberitahu untuk membayar deposit sebanyak SGD150. nasib baik ada duit, tp baki yang ada untuk belanja cuma tinggal beberapa SGD je. hati dh mula risau. walaupun saya bukan datang untuk bersuka ria, tapi perbelanjaan asas seperti tambang teksi untuk ke airport dan mana-mana destinasi yang sempat saya kunjungi, juga sedikit cenderahati untuk keluarga tercinta, perlu diambil kira. kalau diikutkan, deposit mesti boleh refund, tapi sebab masih nervous jadi terkunci pula mulut untuk tanya miss di kaunter check-in tu. lagipun, english orang Singapura ni lain sikit slang dia. agak tak faham juga pada mulanya tu.



Selesai check-in, dah dapat kunci bilik semua, saya terus menuju ke bilik saya di tingkat 13. Huh, lega sangat sebab finally dah sampai. dah boleh rehat-rehat hilangkan kepenatan. sebelum tu, cepat-cepat connect kepada wifi hotel untuk menyampaikan perkahabaran kepada suami dan ma, yang saya dah sampai. takut risau pula diorang. lepas tu, saya habiskan masa petang ni untuk explore bilik ni, disamping menikmati pemandangan yang cantik melalui tingkap bilik ni. bilik ni menghala ke pusat liburan di Clarke Quay ni, menghadap juga bangunan-bangunan tinggi di gigi sungai, ada Reverse Bungee, dan di hujung sungai tu kelihatan Marina Bay Sand Singapore dan Singapore Flyer.






Persidangan 2nd Asia Pacific Reman Summit ni diadakan di dewan hotal yang sama tempat saya menginap. jadi, saya tak menghadapi masalah untuk ke tempat persidangan. sesampai di sana, saya mendaftarkan diri dan terus duduk mengambil tempat. seusai tu, saya disapa oleh urusetia yang selalu saya berhubung sewaktu di Malaysia, Ms Catherina namanya, chinese dari China. memandangkan persidangan ni dianjurkan oleh negara China, semua urusetia nya datang dari China. peserta dan delegasi persidangan pula datang dari pelbagai negara rantau Asia Pacific. Dengan berbekalkan kad nama UTM saya sebagai pelajar pasca-siswazah, saya mulakan sesi ice-breaking dengan jiran-jiran semeja dulu. sementara menunggu program bermula, kebanyakan delegasi bertukar-tukar kad nama dan berkenalan..bak kata orang-orang korporat, 'networking'. Di kalangan delegasi yang seramai lebih kurang 40 orang tu, saya cam 2 orang yang saya kenal. Encik Asrul dari MAI, dan Encik Safwan dari MTI Reman. Kedua-duanya dari Malaysia, dan kedua-duanya pernah menjadi pakar dalam kajian saya. Saya mencari peluang untuk menyapa mereka. Setelah diperhatikan, cuma kami 3 orang je wakil dari Malaysia. Selain daripada kami, ada delegasi dari India, Jepun, China, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Australia, dan lain-lain.

Persidangan dimulakan dengan pembentangan dari delegasi Thailand. Perempuan. Cuma saya dan dia delegasi perempuan yang ada dalam dewan ni, yang lain-lain semua kaum Adam. Setelah pembentangan demi pembentangan, akhirnya tiba giliran saya. Sesi saya petang, pembentang yang keempat. Bismillah tawakkal 'alallaah. Saya rasa suara saya terketar-ketar dek kerana nervous. Alhamdulillah tiada soalan yang diajukan, dan setelah saya turun dari pentas pembentangan tu, ada beberapa delegasi yang ucap tahniah kepada saya dan memuji kandungan pembentangan saya. Saya tak pasti betul ke tak, atau sekadar berlapik-lapik nak menghilangkan nervous saya, sebab semasa saya membuat pembentangan dan sehingga ke akhir persidangan di hari kedua, delegasi perempuan dari Thailand tu dah tak kelihatan.

 

Di antara perkara yang menjadi tarikan kalau ada persidangan atau kursus, tentulah makanan nya. Bagi saya, saya amat takut-takut juga untuk makan takut tak halal. Jadi, untuk hidangan utama, saya ada buat special request dengan pihak urusetia dan hotel untuk halal food. Tengok apa yang diorang hidang untuk saya, makanan India dengan bermacam-macam jenis kari. Tak habis makan tengahari tu, saya minta tapau untuk saya makan pada waktu malamnya memandangkan makan malam tidak disediakan. Malam sebelum persidangan tu, saya makan megi, yang memang saya bawa dari rumah. nak beli di cafe hotel, takut tak halal, dan juga takut mahal.


























Hari kedua dan terakhir persidangan, saya lebih rileks sebab cuma mendengar pembentangan dari rakan-rakan delegasi lain. dalam pada tu, kalau ada masa terluang, saya akan buat 'networking' lagi. saya cuba sebanyak mungkin. Dan, di akhir persidangan, saya mencadangkan untuk menangkap gambar semua delegasi. Sebagai kenang-kenangan dan memori. Selepas itu, kami bersurai. Alhamdulillah, selesai sudah.  Untuk lihat sedikit sebanyak tentang persidangan ni, boleh ke SINI.



Petang tu juga, selepas persidanagn dan solat Asar, saya terus keluar mengambil angin petang Singapura. Di kawasan ni, kebanyakan orang ke mana-mana dengan berjalan kaki sahaja, sebab tempat-tempatnya dekat-dekat dan ada laluan khas untuk pejalan kaki. Dalam masa 1 jam, saya berjalan menyusuri Singapore River, menangkap gambar (selfie dan monopod, of course). Menjelang Maghrib, saya sudah kembali ke hotel. Malam ni saya boleh rehat sambil menikmati lebihan makanan tengahari saya tadi. Esok, masih berbaki 1 hari di Singapura untuk saya jalan-jalan.

 

  

 

  

  

  


  

  

 

Untuk hari terakhir di Singapura, saya sambung nanti ye. Thanks for reading (^,^)v
 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...