Thursday, 1 November 2012

Kandungan Kafein Dalam Kopi Bermanfaat??



ADA orang berasakan hidupnya kurang sempurna jika tidak dimulakan dengan secawan kopi. Peminum kopi mendakwa sukar berfikir jika tidak mendapat bekalan kafein pada awal pagi atau sekurang-kurangnya sebelum memulakan kerja.

Sebenarnya, kandungan kafein dalam kopi atau teh memang boleh membuatkan seseorang lebih segar. Ini sebabnya individu yang mengalami masalah sukar tidur tidak digalakkan minum minuman berkafein pada waktu malam, terutama dua atau tiga jam sebelum tidur.

Kajian terbaru mendapati, tabiat minum minuman mengandungi kafein juga ada faedahnya kerana ia boleh meningkatkan tekanan darah dan mengelakkan risiko kematian akibat serangan jantung, terutama warga emas.
 

Kajian ke atas 6,594 responden dewasa selama sembilan tahun yang disiarkan dalam Jurnal Pemakanan Klinikal Amerika edisi Februari 2007 melaporkan, pengambilan kafein setiap hari didapati mampu mengurangkan risiko kematian akibat penyakit jantung di kalangan individu yang mempunyai tekanan darah normal.

Sepanjang tempoh kajian, seramai 426 responden meninggal dunia diserang penyakit jantung. Responden yang minum empat atau lebih hidangan mengandungi kafein setiap hari mempunyai risiko 53 peratus lebih rendah untuk mendapat penyakit jantung berbanding responden yang cuma mengambil setengah hidangan (setengah cawan) sehari.

Individu yang minum minuman berkafein antara dua hingga empat hidangan sehari boleh merendahkan risiko kematian akibat diserang sakit jantung sehingga 32 peratus.

Alasan diberikan ialah, kafein boleh meningkatkan tekanan darah yang biasanya turun sedikit selepas makan, satu fenomena yang semakin biasa di kalangan orang tua.

Tidak kira kopi baru dikisar atau kopi segera, kedua-duanya mempunyai kandungan kafein tinggi dan boleh memberi manfaat. Bagaimanapun, manfaat ini tidak dilihat di kalangan responden yang sememangnya menghadapi masalah tekanan darah tinggi atau berumur kurang daripada 65 tahun.

Penemuan ini mungkin berita baik bagi penggemar kopi memandangkan ia minuman paling popular dan sakit jantung pula pembunuh nombor satu di seluruh dunia, tetapi seperkara yang perlu diingat ialah, apa juga jika diambil berlebihan boleh mendatangkan kemudaratan.

Bagaimanapun, banyak kajian lain turut mendapati minuman berkafein seperti kopi mempunyai manfaatnya kerana ia turut mengandungi methylzentin; iaitu bahan yang digunakan dalam ubat asma.

Jadi kopi pekat boleh dijadikan ‘ubat kecemasan’ jika seseorang pesakit asma mendapat serangan jika ubat yang biasa diambil tiada. Namun, ini bukan bermakna kopi boleh menggantikan ubat yang disarankan doktor.

Hasil analisis data 126,000 orang yang dikumpul selama 18 tahun dilakukan penyelidik Universiti Harvard mendapati, pengambilan satu hingga tiga cawan minuman berkafein sehari boleh merendahkan risiko kencing manis sehingga 10 peratus.

Malah, ada juga kajian menunjukkan, kafein boleh mengurangkan risiko penyakit Parkinson sehingga 80 peratus. Lebih menarik, kebanyakan penyelidik mendapati lebih banyak kita mengambil kafein, lebih baik untuk kesihatan kerana ia juga merendahkan risiko kanser usus (25 peratus), sirosis hati (80 peratus) dan batu karang (50 peratus).

Kafein juga mempunyai kesan terhadap psikologi seseorang. Apa berlaku sebenarnya ialah kafein merangsang otak dan sistem saraf untuk bekerja dengan cara berbeza, kata Pakar Fisiologi Universiti Guelph, Kanada, Dr Terry Graham.

Antaranya ialah memberi isyarat untuk tidak mempedulikan keletihan atau menggunakan beberapa unit otot bagi melakukan aktiviti cergas. Malah, kafein mungkin mempunyai kesan langsung kepada otot yang membolehkan ia mengecut lebih kuat. Kesan ini membuatkan seseorang rasa lebih bertenaga.

Kajian mendapati kopi juga kaya dengan antioksidan, termasuk komponen dipanggil kuinin, dan apabila diuji ke atas tikus, bahan berkenaan boleh meningkatkan sensitiviti badan untuk bertindak balas terhadap insulin.

Atas alasan ini, kopi yang tiada kafein juga dikatakan baik untuk pesakit kencing manis. Namun, saintis belum dapat menerangkan sepenuhnya bagaimana kopi boleh memberi manfaat kepada pesakit kencing manis.


Itu antara kajian yang dilakukan pada minuman mengandungi kafein, terutama kopi. Namun seperkara yang perlu diingat ialah, budaya minum kopi masyarakat Barat tidak sama dengan budaya kita di sini.

Masyarakat Barat kebanyakannya minum kopi pahit (tanpa gula) sedangkan kita suka jika ia berasa sedikit manis, malah ada juga yang mahu kopi mereka lebih gula.

Kandungan gula ini membimbangkan kita. Walaupun kajian menyarankan kita minum antara tiga hingga enam cawan sehari, saranan itu mungkin kurang praktikal bagi masyarakat di negara kita yang sememangnya menghadapi masalah pengambilan gula harian berlebihan.

Setiap minuman atau makanan akan diperoleh manfaatnya jika diambil secara sederhana. Ingat, apa juga yang diambil secara berlebihan akan memudaratkan. 


 
(sumber: harian metro)

 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...