Tuesday, 29 April 2014

Aku Ditakdirkan Di Sini - Episod 3

 __________ Episod 3__________
Sejuk. Badanku menggigil. Dalam separuh sedar, aku terdengar suara Mama dan Papa. "Syukurlah, anak kita dah selamat." Aku jadi bingung. Apa yang telah terjadi? Aku rasa diriku disorong dan tiba di suatu tempat, aku dipindahkan ke katil. Kepalaku berdenyut-denyut. Aku masih kepeningan dan akhirnya aku terlena dalam kesejukan.

Berat rasanya mata ini untuk dibuka. Namun, aku cuba juga lantaran kudengar suara Mama memanggil-manggil namaku, "Hana, Hana, bangun sayang....". Aku seolah-olah terjaga dari mimpiyang ngeri. Kulihat satu persatu wajah yang ada di sekelilingku; Mama, Papa, dan Murni! Kemudian aku perhatikan pula pada diriku. Tangan kiriku dicucuk, tangan kananku pula berbalut kemas. Sebelah kakiku terasa berat untuk diangkat. Aku cuba menoleh, tetapi kepalaku pula rasa berat. Tiba-tiba hatiku menjadi sayu dan aku menangis tersedu-sedan apabila mendapati aku sekarang berada di hospital. Mama menusap lembut kepalaku, "Sabarlah Hana, semuanya selamat". Kulihat Murni mengangguk memberikan kepastian.
*****

Seawal dua hari aku di sini, aku dapat rasakan perubahan terhadap diriku. Fikiranku bercelaru. Aku tak banyak bercakap, termasuk dengan Mama. Aku masih tak dapat menerima ketentuan ini. Kenapa aku yang menjadi mangsa? Mengapa Allah mentakdirkan ini tatkala aku ingn mengotakan impianku untuk ke menara gading? Aku rasa segala-galanya telah lenyap dan aku hilang arah tuju. "Hana, kenapa macam ni? Hana tak patut bersikap begini. Hana orang terpelajar, tahu agama. Adakah betul tindakan Hana mempersoalkan ketetapan Allah?". Aku hanya membisu. Suasana sepi seketika. "Hana, di waktu Murni dalam kesusahan, Hana berikan Murni semangat untuk meneruskan hidup. Alhamdulillah, Murni dapat atasi semuanya. Tapi sekarang, Hana pula buat macam ni. Murni tak mahu Hana terus-menerus menyalahkan Allah atas segala yang berlaku!". Murni berlalu meninggalkan aku dalam keadaan terpinga-pinga.

Astaghfirullaahalazim....apa yang telah aku lakukan ini! Aku seolah-olah tersedar dari mimpi yang dahsyat. Betapa aku telah berdosa kepada-Nya. Ampunkan aku Ya Allah! Aku bersemangat kembali dan aku berjanji aku akan berubah!
*****

"Mama, Mama, bangun. Dah pagi ni". Manja suaraku mengejutkan Mama yang tidur di atas kerusi di sebelah katilku. Sejak tiga hari di hospital, Mama lah yang bersusah payah menjaga aku. Aku dibelainya seperti anak kecil. Walaupun terpaksa meninggalkan kerjany buat sementara waktu, Mama tidak pernah mengeluh. Betapa mulia hati seorang ibu. Semoga Allah merahmatimu, Mama; dan juga Papa.

"Hana nak minum?"
"Eh, Mama! Dah selesai solat?"
"Dari tadi lagi Mama tercegat kat sini. Mama tengok Hana asyik termenung aje. Jadi, Mama siapkan minuman untuk Hana"

Subhanallah.....aku mengelamun rupanya!

*****

Selesai makan dan dimandikan oleh Mama, aku terlantar lagi di katil ini. Hari ni sudah masuk empat hari aku terperosok di bangunan konkrit ini. Hidupku hanya bertemankan tilam dan bantal yang putih. Tiada apa yang boleh aku lakukan melainkan melayan perasaanku yang menerawang jauh memikirkan ketetapan Allah ke atas diriku. "Hana kemalangan semasa pulang dari rumah Murni. Menurut saksi, motosikal yang Hana pandu dilanggar oleh sebuah kereta sewaktu Hana keluar dari selekoh. Tapi, kereta tu melarikan diri. Sampai sekarang masih tiada apa-apa berita mengenainya", panjang lebar Papa menjelaskan keadaanku yang sebenar. Aku dibawa ke hospital oleh keluarga Murni yang mendapat berita kemalanganku daripada penduduk kampung. Menurut Papa lagi, aku hanya mengalami luka di tangan kanan, manakala kaki kananku pula terpaksa dijahit akibat luka yang parah. "Adik, buka mulut ye..", sapaan seorang jururawat yang kukenali dengan nama Kak Ima menoktahkan lamunanku. Itulah tugas Kak Ima setiap hari, mengambil suhu badanku. Selang empat jam, dia akan memeriksa aku dan menyuntikku dengan antibiotik. Tiada apa yang boleh aku lakukan hanya menahan kesakitan...

*****
 < bersambung..... >

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...